Polis tahan lelaki tumbuk isteri, anak selepas dirakam bawa balik teman wanita

Adie Sufian Zulkefli
November 23, 2023 19:16 MYT
Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. - Gambar hiasan
ARAU: Seorang isteri cedera ditumbuk suaminya selepas cuba merakam perbuatan lelaki itu membawa masuk wanita lain ke dalam bilik tidur mereka di sebuah rumah di Taman Desa Pauh, Pauh, di sini.
Kejadian dipercayai berlaku pada jam 5.10 petang Selasa, apabila mangsa yang berusia 53 tahun itu baru tiba di rumah dan mendapati suaminya berusia 49 tahun cuba menyembunyikan teman wanitanya itu di dalam bilik air.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, wanita berkenaan yang berang cuba merakamkan perbuatan suaminya.
“Apabila suspek menyedari hal itu maka berlaku berlaku pergelutan antara mereka. Suspek yang berang kemudian merampas dan membuang telefon bimbit mangsa ke lantai sehingga pecah sebelum menyiku atas bahu, menampar dan menumbuk muka mangsa sehingga terjatuh dan cedera.
“Semasa kejadian, anak lelaki mereka yang berusia 16 tahun cuba membantu namun suspek bertindak mencekik leher dan menumbuk dada serta mulut remaja itu sehingga mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Arau sebelum dia bersama anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah Kangar.
“Hasil laporan awal perubatan mendapati mangsa mengalami kesan bengkak di bahagian pipi kiri dan bahu kiri manakala anak lelakinya pula mengalami sakit di bahagian kepala, tangan kanan, lutut kanan dan perut,” katanya.
Suspek yang tidak bekerja itu kemudian ditahan polis dan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
#tumbuk isteri #pukul anak #bawa teman wanita masuk rumah #hubungan sulit
;