Polis tahan lelaki, rampas syabu hampir 2kg di Tawau
Bernama
Ogos 18, 2023 18:38 MYT
Ogos 18, 2023 18:38 MYT
TAWAU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah bersama kira-kira 1.917 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM120,000 di sebuah ladang kelapa sawit di Kalabakan, Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata lelaki berusia 36 tahun itu yang memakai beg galas dilihat dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri dari pemeriksaan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik pada 4 petang, namun berjaya ditahan.
"Pemeriksaan di dalam beg itu menemukan dua bungkusan plastik berisi dadah disyaki jenis syabu. Suspek yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri turut didapati positif dadah jenis Amphetamine," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata lelaki berkenaan direman hingga Rabu depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA