Polis tahan lelaki, rampas 65 kotak mercun
Bernama
Februari 7, 2021 12:15 MYT
Februari 7, 2021 12:15 MYT
JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 65 kotak mercun pelbagai jenis di sebuah premis pengedar minyak pelincir di Taman Perindustrian Empayar, Gelang Patah, di sini, petang semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am, Simpang Renggam Supt Dimin Awang berkata lelaki berumur 28 tahun itu merupakan pekerja di premis tersebut, ditahan anggota pasukannya pada kira-kira 6.45 petang.
"Kesemua mercun terbabit dianggar bernilai lebih RM56,000," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dimin berkata lelaki bersama mercun berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).
Beliau sehubungan itu, turut menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban.
-- BERNAMA
#polis
#siasatan
#mercun
#pengedar minyak
#minyak pelincir
#Taman Perindustrian Empayar
#Gelang Patah
#Pasukan Gerakan Am
#PGA Simpang Renggam
#Dimin Awang
#ipd iskandar puteri
#barangan kontraban
#rampas