Polis tahan lelaki miliki mercun, bunga api
Abd Razak Mohd Ali
April 30, 2022 23:44 MYT
April 30, 2022 23:44 MYT
TAIPING: Polis menahan seorang lelaki yang memiliki bahan letupan di Kampung Sungai Tinggi, Padang Gajah, dekat sini, lewat malam tadi.
Penahanan dibuat sepasukan anggota dari Balai Polis Padang Gajah di hadapan sebuah kedai makan, kira-kira jam 11 malam.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, hasil dari penahanan tersebut, pihak polis telah merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai hampir RM4,000.
“Polis turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
“Orang ramai tidak boleh memiliki, menyimpan serta menjual mercun dan bunga api tanpa lesen/permit yang sah bagi mengelakkan dari diambil tindakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Osman berkata, lelaki berusia 49 tahun itu ditahan reman selama empat hari sehingga 3 Mei ini.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya mengutamakan keselamatan diri dan keluarga, ketika menyambut kemeriahan Aidilfitri tidak lama lagi.
Menurutnya, bermain mercun dan bunga api yang keterlaluan bokeh menyebabkan kecederaan serta kemusnahan harta benda, malah boleh menyebabkan kehilangan nyawa.