Polis tahan lelaki miliki ketamin bernilai lebih RM80,000
Bernama
Julai 22, 2022 05:20 MYT
Julai 22, 2022 05:20 MYT
SIBU: Seorang lelaki tempatan ditahan bersama 576.20 gram dadah jenis ketamin dianggarkan bernilai RM86,430 di Jalan Tiong Hua, di sini, Khamis malam.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata semasa ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kira-kira 10.30 malam, sebanyak lima peket plastik lutsinar berisi serbuk putih disyaki ketamin seberat kira-kira 6.20 gram dibawa suspek berusia 43 tahun itu.
Suspek kemudian membawa pasukan polis ke sebuah rumah dan pemeriksaan lanjut menemukan 44 peket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan kristal disyaki ketamin dengan anggaran berat 570 gram.
"Suspek seterusnya ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman 14 hari untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di IPD Sibu pada Jumaat.
Zulkipli berkata siasatan setakat ini mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek bergerak bersendirian atau melibatkan individu lain dan punca bekalan dadah tersebut.
-- BERNAMA