Polis tahan lelaki lindungi PATI di Bagan Datuk
Bernama
Disember 27, 2021 06:30 MYT
Disember 27, 2021 06:30 MYT
IPOH: Polis menahan seorang lelaki warga emas tempatan kerana melindungi pendatang tanpa izin dalam satu sekatan jalan raya di KM 30 Jalan Feri, Hutan Melintang dekat Bagan Datuk pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata turut ditahan sepasang suami isteri masing-masing berusia 50 dan 49 tahun yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah semasa mereka menaiki kereta jenis Proton Waja.
"Polis menahan kereta yang dipandu lelaki berusia 62 tahun itu dan dinaiki pasangan suami isteri terbabit dalam keadaan yang mencurigakan pada 9 pagi dan anggota polis yang bertugas telah mengarahkan kenderaan tersebut berhenti di bahu jalan serta membuat pemeriksaan.
"Seterusnya anggota polis telah membuat tangkapan ke atas pemandu kenderaan itu kerana dipercayai melindungi warga asing tanpa pasport dan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah," menurutnya dalam kenyataan malam tadi..
Beliau berkata siasatan pihaknya mendapati pemandu itu menjalankan perkhidmatan kereta sewa dan telah mengambil pasangan itu dengan upah sebanyak RM350 untuk dibawa dari Kampung Merbau Berdarah, Sungai Besar di Selangor ke Ipoh bagi tujuan mencari pekerjaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(C) akta sama.
-- BERNAMA