Polis tahan lelaki hina Islam di media sosial

Fareez Azman
Julai 17, 2022 17:35 MYT
Tular sebuah video berdurasi 36 saat memaparkan seorang lelaki dikatakan menghina Nabi Muhammad, Allah serta agama Islam. - Gambar/ Media sosial
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun yang disyaki menghina agama Islam di media sosial, di sebuah rumah di Puchong dekat sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A Anbalagan berkata suspek ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Katanya, siasatan mengenainya dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu tular sebuah video berdurasi 36 saat memaparkan seorang lelaki dikatakan menghina Nabi Muhammad, Allah serta agama Islam, dan turut mencabar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan untuk bersemuka dengannya.
Turut tular kemudian adalah adalah beberapa klip video yang memaparkan lelaki terbabit dipukul di hadapan rumahnya oleh beberapa individu yang tidak dikenali, dipercayai berpunca daripada cabarannya itu.
Anbalagan dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sebarang tindakan di luar batasan undang-undang.
Beliau berkata, siasatan juga sedang dijalankan terhadap individu yang dipercayai memukul lelaki itu.
#hina Islam #lelaki #PDRM #ditahan
;