Polis tahan lelaki disyaki toreh muka rakan dalam pergaduhan

Bernama
Ogos 16, 2022 13:38 MYT
Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di rumahnya di Semenyih dekat sini pada pukul 2 pagi tadi. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki di sini awal pagi ini yang disyaki menoreh muka rakannya menggunakan pisau lipat dalam satu pergaduhan di padang bola jaring di Merdeka Villa, Ampang, di sini minggu lepas.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di rumahnya di Semenyih dekat sini pada pukul 2 pagi tadi.
"Semakan mendapati dia mempunyai 11 rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah manakala ujian awal saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya polis telah membawa lelaki itu ke Mahkamah Ampang pagi tadi bagi mendapatkan arahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
-- BERNAMA
#toreh muka rakan #pergaduhan #merdeka villa #PDRM