Polis tahan lelaki dipercayai edar dadah guna termos

Bernama
Mei 13, 2020 07:14 MYT
Polis berjaya memberkas seorang lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dengan menggunakan termos. -Gambar hiasan
Polis berjaya memberkas seorang lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dengan menggunakan termos di sebuah rumah di Jalan Pesiaran, Taman Tunku di sini pada Rabu.
Dalam serbuan pada 1.30 tengah hari itu, polis menemui satu termos berwarna merah mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat dua kilogram dalam kotak yang dipegang suspek semasa ditahan.
Satu lagi bekas termos berwarna merah yang turut dijumpai di dalam kotak tersebut mengandungi dua plastik lut sinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis ketamin dengan berat keseluruhan sebanyak 800 gram.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata pihaknya turut menjumpai satu alat penimbang digital, satu plastik warna kuning mengandungi pelbagai saiz paket lut sinar disyaki pembungkus dadah dan dua lagi termos berwarna merah dan satu termos berwarna hijau di bilik tidur suspek.
"Kesemua barang tersebut dirampas untuk dijadikan barang kes dan nilai dadah terbabit adalah dianggarkan lebih kurang RM116,000," katanya.
Suspek yang mempunyai empat kesalahan lampau memiliki dadah didapati positif dadah ketamin.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
#Dadah #edar dadah guna termos #Jalan Pesiaran #Ketamin #ketulan kristal #Lim Meng Seah #methamphetamine #Miri #nilai #Taman Tunku #termos
;