Polis tahan lelaki bakar mercun di tengah jalan raya

Bernama
Mac 28, 2024 22:45 MYT
Ahmad Ridhwan berkata lelaki berusia 28 tahun itu, ditahan kira-kira 3.30 petang di sekitar kawasan Banting. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Polis menahan seorang pembantu bengkel yang disyaki membakar mercun di tengah jalan raya, ketika perarakan pengebumian berdekatan sebuah pasar raya di Banting, Selangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata lelaki berusia 28 tahun itu, ditahan kira-kira 3.30 petang di sekitar kawasan Banting dan hasil saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Beliau berkata lelaki terbabit mengambil bahagian dalam perarakan itu bersama beberapa penunggang motosikal lain, dan bertindak menahan kenderaan orang awam dan membakar mercun di jalan raya.
"Lelaki itu kini ditahan di lokap Balai Polis Banting untuk tindakan lanjut, dan semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah dan narkotik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Ridhwan berkata bahagian trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat juga telah mengeluarkan tiga saman terhadap suspek berkaitan kesalahan lalu lintas.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Polis kini giat mengesan dua lagi suspek dipercayai terlibat dalam kejadian itu yang tular di media sosial," katanya.
-- BERNAMA
#media sosial #methamphetamine #air kencing #kesalahan lalu lintas
;