Polis tahan khatib didakwa menghasut semasa khutbah Jumaat

Astro Awani
September 12, 2014 08:13 MYT
Polis tahan khatib didakwa menghasut semasa khutbah Jumaat - Gambar Hiasan
Polis Pulau Pinang pada Khamis menahan seorang khatib kerana didakwa mengkritik tindakan Kerajaan Persekutuan dan polis yang menangkap anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) secara beramai-ramai pada 31 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata, khatib yang bertugas sebagai pegawai tadbir di Yayasan Islam Negeri itu ditahan selepas dia hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Timur Laut kira-kira jam 11.30 pagi.
"Khatib yang juga pemangku Yang Dipertua PAS kawasan Sik, Kedah itu akan dibebaskan dengan jaminan polis pukul 8 malam ini.
"Polis juga akan memanggil beberapa anggota jawatankuasa dan kariah masjid berkenaan untuk direkodkan keterangan dalam tempoh terdekat ini. Kes itu disiasat menurut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948,"
Jumaat lepas, seorang lelaki yang mengaku anggota PAS membuat laporan polis terhadap khatib terbabit yang didakwa menyatakan sokongan terhadap PPS dan mengkritik kerajaan dalam menangani isu pasukan itu ketika menyampaikan khutbah Jumaat.
Lelaki itu yang turut menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan berkata perbuatan khatib itu mengundang rasa kurang senang jemaah yang hadir.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan berhubung PPS termasuk menambah beberapa perkara seperti yang dikehendaki Ketua Unit Pendakwaan (KUP) sebelum menyerahkan semula kertas siasatan itu untuk tindakan lanjut.
"Selasa lepas, pihak KUP pulangkan semula kertas siasatan itu mahu polis tambah beberapa perkara dan kami sedang lengkapkan. Dalam tempoh terdekat ini kami akan hantar semula kepada KUP," katanya.
Pada 31 Ogos lepas polis menahan 156 anggota PPS termasuk pengerusinya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh kerana ingkar amaran untuk tidak menjalankan aktiviti selepas PPS didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.
Sehari selepas itu, polis menahan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Seri Delima RSN Rayer dan kemudiannya timbalan pasukan itu yang juga Anggota Parlimen Tanjong Ng Wei Aik pada Khamis.
#hasutan #jamin #Jumaat #khatib #PAS #polis #PPS #Tahan
;