Polis tahan 'hacker' IS godam maklumat ketenteraan Amerika Syarikat

Hakim Rahman
Oktober 15, 2015 00:53 MYT
Modus operandi terbaru itu terdedah berikutan penahanan seorang anggota IS berusia 20 tahun yang masuk ke negara ini pada Ogos 2014.
Anggota militan IS dikesan mengunakan modus operandi baru dengan menggunakan pas pelajar untuk masuk ke negara ini.
Lebih membimbangkan, anggota militan berkenaan, bukan calang-calang tetapi individu yang memainkan peranan penting dalam menggodam maklumat keselamatan.
Modus operandi terbaru itu terdedah berikutan penahanan seorang anggota IS berusia 20 tahun yang masuk ke negara ini pada Ogos 2014.
Suspek masuk ke negara ini mengunakan pas pelajar untuk melanjutkan pengajian di salah satu institusi pengajian tinggi swasta di ibu negara dalam bidang sains komputer dan komputer forensik.
Menurut sumber, suspek yang berasal daripada Kosovo itu telah menukar tempat pengajiannya beberapa kali bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
"Sebelum suspek masuk ke negara ini juga, dia telah berkomunikasi dengan pemimpin kanan IS di Syria dan mendapat arahan tertentu, antaranya mengodam maklumat keselamatan berikutan dia mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.
"Suspek juga bijak menyembunyikan komunikasinya dengan anggota IS yang lain sehingga menyukarkan usaha pihak berkuasa mengesan bukti-bukti ," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata suspek ditangkap pada 15 September lalu oleh bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dalam satu operasi khas.
"Siasatan awal mendapati suspek telah berkomunikasi dengan salah seorang pemimpin kanan IS di Syria untuk mengodam 'server' yang mengandungi maklumat anggota keselamatan Amerika Syarikat.
"Maklumat tersebut kemudiannya akan disalurkan kepada bahagian operasi kumpulan IS untuk tindakan susulan mereka," katanya dalam satu kenyataan lewat malam Khamis.
Pada awalnya, suspek telah diletak di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sebelum ditahan menerusi waran tangkap sementara yang dikeluarkan oleh mahkamah.
Dia dikini ditahan di bawah Akta Ekstradisi 1992 sementara menunggu prosiding ekstradisi ke Amerika Syarikat selesai.
"Tangkapan ini adalah hasil kerjasama erat polis dengan pihak Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dalam menangani ancaman keganasan khususnya ancaman kumpulan militan IS yang bersifat rentas sempadan," katanya lagi.
#AS #ekstradisi #IS #Khalid Abu Bakar #militan #penggodam #polis
;