Polis tahan guru penolong kanan, disyaki cabul pelajar 12 tahun

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 14, 2024 11:00 MYT
Azizi berkata, guru berumur 37 tahun dan masih bujang itu ditahan pada Jumaat, susulan laporan yang dibuat ibu mangsa kira-kira jam 3 petang, hari yang sama. - Gambar fail Astro AWANI
IPOH: Polis menahan seorang Guru Penolong Kanan sebuah sekolah rendah di sini, bagi membantu siasatan kes cabul terhadap seorang pelajar perempuan berusia 12 tahun.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, guru berumur 37 tahun dan masih bujang itu ditahan pada Jumaat, susulan laporan yang dibuat ibu mangsa kira-kira jam 3 petang, hari yang sama.
Menurutnya, ibu mangsa yang berumur 47 tahun dalam laporannya mendakwa, anak perempuannya telah dipeluk dan dicium di bahagian mulut serta menerima gambar tidak senonoh daripada guru berkenaan.
Bertindak atas maklumat berkenaan, Azizi berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh telah membuat tangkapan ke atas satu lelaki warga tempatan yang berumur 37 tahun untuk siasatan lanjut.
“Hasil semakan rekod jenayah ke atas tangkapan didapati tiada rekod jenayah sebelum ini ataupun rekod dadah.
“Permohonan reman ke atas subjek, dibenarkan oleh Majistret Ipoh selama enam hari bermula 12 Oktober 2024 sehingga 17 Oktober 2024 bagi siasatan lanjut,” kata Azizi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, pada Isnin.
Azizi berkata, berdasarkan siasatan awal, guru itu berkhidmat di sekolah berkenaan sejak lapan bulan lalu dan telah melakukan perbuatan tersebut beberapa kali.
Mengulas lanjut, Azizi berkata, setakat ini terdapat seorang mangsa sahaja dan pihak polis sedang menyiasat sama ada terdapat mangsa lain.
Kes berkenaan, jelas beliau, disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat, jika sabit kesalahan.
Pada Ahad, media melaporkan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kementerian bersedia untuk memberi kaunseling kepada seorang pelajar perempuan berusia 12 tahun yang disyaki dicabul oleh guru penolong kanan sebuah sekolah di Ipoh.
#cabul pelajar #guru penolong kanan #guru bujang #sekolah rendah #terkini
;