Polis tahan enam 'transporter', rampas 270 ketulan ganja mampat bernilai RM668,300
Adie Sufian Zulkefli
Januari 27, 2022 13:44 MYT
Januari 27, 2022 13:44 MYT
KANGAR: Polis berjaya menahan enam lelaki menerusi tiga serbuan yang seterusnya membawa kepada rampasan 270 ketulan ganja mampat bernilai RM668,300, Isnin lalu.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, penahanan suspek berkenaan dilakukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Perlis.
"Dalam serbuan pertama sekitar jam 8.30 pagi, anggota polis mengesan dua lelaki dalam sebuah pikap jenis Ford Ranger yang sedang melalui Jalan Tuanku Syed Putra, Kangar menuju ke Alor Setar.
"Polis mengekori kenderaan itu sebelum mengejarnya sejauh 10 kilometer (km), menyebabkan pikap terbabit terbabas dan melanggar tepi sebuah rumah di Kampung Lat, Simpang Empat.
"Polis kemudian menahan suspek berusia 29 dan 33 tahun. Hasil pemeriksaan pada kenderaan itu polis menemui ganja seberat 266.29kg dianggarkan bernilai RM665,725," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini.
Surina berkata, satu jam selepas serbuan pertama itu, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Seriab, Kangar.
"Pemeriksaan di rumah berkenaan menemui ganja seberat 1.03kg bernilai RM2,575 disembunyikan di bawah lantai rumah dan tiga lelaki berusia 28 hingga 45 tahun ditahan untuk membantu siasatan.
"Polis kemudian pergi ke sebuah rumah di Kampung Utan Ibus, Kuala Perlis dan menahan seorang lagi lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai turut terbabit dalam sindiket pengedaran ganja ini," katanya.
Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati suspek yang ditahan adalah 'transporter' (penghantar) yang diupah sebanyak RM6,000 hingga RM7,000 untuk membawa bekalan ganja berkenaan ke Kuala Lumpur.
"Kita percaya dadah dirampas ini diperoleh daripada Thailand yang mana sindiket ini menjadikan Perlis sebagai transit sebelum diedarkan ke Kuala Lumpur. Rampasan ganja ini mampu membekalkan kepada 532,580 penagih dadah di seluruh ibu kota," katanya.
Beliau berkata, sindiket ini dipercayai beroperasi sejak November tahun lalu dan dadah terbabit dibawa masuk menggunakan jalan laut.
Surina berkata, ujian saringan air kencing suspek juga mendapati kesemuanya positif dadah dan berdasarkan semakan rekod jenayah lampau juga mendapati lima daripada suspek mempunyai rekod kesalahan dadah dan curi.
"Kesemua rampasan dianggarkan bernilai 267.32kg manakala suspek berusia 28 hingga 45 tahun direman sehingga 31 Januari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori," katanya.