Polis tahan enam suspek tembak gajah pygmy di Tawau

Bernama
Oktober 2, 2019 21:01 MYT
Polis menahan enam lelaki yang disyaki terbabit dalam kes tembak seekor gajah, Selasa lepas. - Gambar fail
Polis menahan enam lelaki termasuk seorang peneroka dan pekerja yang digajikan khas Felda, serta seorang pendatang tanpa izin, yang disyaki terbabit dalam kes tembak seekor gajah yang ditemui mati di kawasan hulu Sungai Udin, Dumpas dekat sini, Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata kesemua suspek yang berumur lingkungan 48 hingga 68 tahun itu ditahan antara pukul 12.20 tengah malam tadi hingga tengah hari ini dalam Ops Bersepadu Khazanah.
Beliau berkata bertindak atas maklumat awam, sepasukan polis menahan seorang lelaki di Felda Umas 4, kira-kira pukul 12.20 tengah malam tadi yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan, dan susulan tangkapan, tiga lagi serbuan dilakukan di Felda Umas.
Menurutnya tiga lagi lelaki ditahan dalam serbuan lewat malam tadi, manakala dalam serbuan tengah hari tadi dua lagi ditahan, masing-masing di Felda Umas dan Ladang Dumpas.
"Daripada enam lelaki ini dua merupakan penembak gajah dan empat lagi bersubahat termasuk menyimpan senjata api serta menyembunyikan gading gajah. Suspek pendatang asing tanpa izin itu dipercayai menyimpan senjata api manakala seorang pekebun kecil menyembunyikan gading gajah yang dipotong," katanya dalam satu persidangan media yang turut dihadiri Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau, Sailun Aris, di sini.
BACA: Peluru menembusi tengkorak punca kematian gajah pygmy
Peter berkata dalam operasi itu polis turut merampas selaras pump gun (berlesen), selaras senapang angin buatan sendiri, tiga laras senapang patah buatan sendiri (bakakuk), 53 butir kelonsong peluru, 58 butir peluru hidup, satu buku lesen memiliki senjata dan peluru termasuk seunit telefon bimbit.
"Dipercayai selaras pump gun serta selaras bakakuk digunakan untuk menembak gajah itu," katanya dan menambah semua suspek akan ditahan reman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 25(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.
Ditanya motif perbuatan menembak haiwan itu, Peter berkata berdasarkan siasatan, kejadian pada 23 Sept kira-kira pukul 9.00 pagi di kawasan rizab Sungai Udin itu dipercayai dilakukan oleh suspek yang ditugaskan mengawal kemasukan gajah ke kawasan ladang, dan suspek turut mengambil gading haiwan itu.
Sementara itu, Peter berkata pemberi maklumat iaitu seorang lelaki awam akan menerima ganjaran RM10,000 daripada Jabatan Hidupan Liar (JHL) seperti yang dijanjikan.
-- BERNAMA
#Dumpas #enam suspek ditahan #Ops Bersepadu Khazanah #pembunuh gajah ditahan #Polis Daerah Tawau #Sungai Udin
;