Polis tahan enam individu sindiket DVD haram di PJ
Bernama
September 5, 2014 08:19 MYT
September 5, 2014 08:19 MYT
Lima lelaki dan seorang wanita tempatan ditahan polis kerana terlibat dalam sindiket pembungkusan video cakera padat (VCD) dan video cakera digital (DVD) haram di sebuah rumah di Taman Mayang, Petaling Jaya, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Mortadza Nazerene berkata nilai rampasan kesemua VCD dan DVD dalam serbuan 'Ops Ostrich' pada 2.15 petang semalam itu dianggar RM595,800.
"Pihak kami merampas sebanyak 119,160 keping VCD dan DVD haram yang dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang.
"Hasil siasatan polis mendapati VCD dan DVD pelbagai tajuk haram yang dirampas dipercayai tidak memiliki sijil B," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis JSJK, Kompleks Kerajaan Bukit Perdana hari ini.
Beliau berkata kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 23 hingga 43 tahun itu menjadikan rumah berkenaan sebagai pusat pembungkusan VCD dan DVD haram.
Mortadza juga berkata hasil soal siasat, premis itu beroperasi sejak tiga bulan lepas.
"Anggaran gaji suspek yang membungkus VCD dan DVD haram itu sekitar RM1,800 hingga RM2,500 sebulan.
"Saya menasihati orang ramai supaya jangan membeli VCD dan DVD cetak rompak kerana ia hanya merugikan perniagaan industri perfileman," katanya.
Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah mulai hari ini sehingga Ahad.