Polis tahan enam individu, rampas dadah bernilai lebih RM100,000

Bernama
Jun 25, 2021 13:35 MYT
Polis menahan enam individu dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM100,000 dalam serbuan di sekitar Lembah Klang pada Isnin dan Selasa lepas. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Polis menahan enam individu dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM100,000 dalam serbuan di sekitar Lembah Klang pada Isnin dan Selasa lepas.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Supt Mohd Shokri Abdullah berkata empat lelaki dan dua wanita berumur 25 hingga 36 tahun itu ditahan dalam serbuan di tiga lokasi berbeza di Sri Hartamas, Cheras dan Ampang di sini.
Beliau berkata polis turut menemukan dadah heroin seberat 2.82 kilogram (kg), ganja (1.23 kg), serbuk MDMA (53 gram), methamphetamine (34 gram), 1,870 biji pil Erimin 5 dan 206 biji pil Ecstasy selain merampas dua buah kereta jenis Volkswagen dan sebuah kereta Perodua Myvi, wang tunai RM11,460 dan seutas rantai emas bernilai RM4,400.
Katanya, aktiviti pengedaran dadah terbabit dipercayai aktif sejak tiga bulan lepas di sekitar Lembah Klang dengan suspek menyewa beberapa premis berharga RM1,500 hingga RM1,800 sebulan untuk dijadikan tempat penyimpanan dadah.
Mohd Shokri berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis methamphetamine dan tetrahydrocannabinol serta dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
"Kesemua suspek ditahan reman bermula 22 hingga 28 Jun ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata keseluruhan dadah yang dirampas dipercayai boleh dibekalkan kepada 5,189 penagih dadah.
-- BERNAMA
#Dadah #Lembah Klang #methamphetamine #tetrahydrocannabinol #ujian saringan