Polis tahan empat lelaki miliki senjata buatan sendiri
Bernama
Februari 6, 2023 12:19 MYT
Februari 6, 2023 12:19 MYT
DUNGUN: Polis menahan empat lelaki kerana memiliki tiga laras senapang angin dan sepucuk pistol buatan sendiri dalam tiga serbuan berasingan di daerah ini, dua hari lepas.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah berkata empat suspek berusia 29 hingga 48 itu ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dalam operasi dari pukul 4.30 pagi hingga 8.30 pagi.
Katanya serbuan pertama di kawasan ladang kelapa sawit di Felda Kerteh 2 dekat sini menemukan selaras senapang, sepucuk pistol buatan sendiri dan 28 biji bola besi, manakala serbuan kedua di sebuah rumah di Kampung Durian Mentangau melibatkan rampasan selaras senapang dan beberapa biji bola besi.
"Serbuan ketiga pula dijalankan di sebuah rumah di Felda Kertih 2 dan membawa kepada penemuan selaras senapang.
"Hasil siasatan awal mendapati tiga daripada empat suspek memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah. Ujian air kencing juga mendapati tiga suspek positif dadah," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata semua suspek yang ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960, mengaku menghasilkan sendiri senjata berkenaan dengan mempelajarinya daripada internet, bagi tujuan memburu binatang liar di kawasan kebun.
Sementara itu, Baharudin berkata pada hari sama sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun turut menahan empat lagi lelaki berusia antara 16 hingga 23 tahun kerana memiliki senjata tiruan.
Menurutnya polis merampas selaras senapang tiruan, selaras senapang menyerupai M16, sepucuk pistol tiruan, sepasang gari, peluru getah, empat buah telefon bimbit dan dua walkie talkie daripada mereka.
"Semua suspek mengaku membeli senjata tiruan dan peralatan lain secara dalam talian untuk tujuan suka-suka dan bergambar di media sosial. Suspek direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 89 Akta Polis 1967," katanya.
-- BERNAMA