Polis tahan empat individu, rampas dadah bernilai hampir RM1.8 juta

Bernama
Jun 11, 2021 09:52 MYT
Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) menunjukkan beberapa jenis dadah yang dirampas ketika operasi khas di sekitar Johor Bahru selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. - Bernama
JOHOR BAHRU: Polis merampas 34.66 kilogram syabu dan 47.54 kilogram heroin bernilai hampir RM1.8 juta dalam tiga operasi khas di sekitar bandar raya ini, bermula dua hari lepas hingga semalam.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata operasi pada 3.30 petang, Rabu lepas hingga 12.15 malam semalam itu turut menahan empat individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah termasuk menjadikan kondominium sebagai stor penyimpanan barangan larangan itu.
"Dalam serbuan pertama di satu unit kondominium berpagar dan berpengawal itu, polis menahan sepasang kekasih berumur 21 dan 24 tahun bersama sejumlah heroin.
"Susulan serbuan itu, polis membuat dua serbuan lain dan menahan dua lelaki berumur 34 dan 35 tahun bersama sejumlah heroin serta syabu," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Ayob Khan berkata kesemua mereka dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah dan penjaga stor dadah, sejak April tahun lepas dengan tiga daripadanya positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).
Beliau berkata kesemua dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan dan pihaknya turut menyita dua kereta.
Dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah serta kesemuanya kini direman hingga 15 Jun ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.
-- BERNAMA
#polis #polis johor #PDRM #Dadah #heroin #tetrahydrocannabinol #THC #ayob khan mydin pitchay