Polis tahan dua suspek pergaduhan di Sepanggar

Abdul Hafiz Mustadi
Disember 5, 2022 14:45 MYT
Polis mengesahkan mendapat maklumat dan telah menangkap dua orang suspek yang terlibat dalam satu pergaduhan di Sepanggar yang tular di media sosial pada 4 November. - Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Polis mengesahkan mendapat maklumat dan telah menangkap dua orang suspek yang terlibat dalam satu pergaduhan di Sepanggar yang tular di media sosial pada 4 November.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah, berdasarkan maklumat diperolehi, empat orang suspek lelaki telah menyekat laluan masuk sebuah kilang menggunakan kenderaan Perodua Bezza dengan tujuan untuk berjumpa dengan pengusaha kilang yang didakwa gagal membayar gaji salah seorang lelaki berkenaan berjumlah RM10,000.00.
Rakan kepada pengusaha kilang kemudian bertindak membaling alat pemadam api ke arah kenderaan itu setelah gagal mengarah kumpulan terbabit mengalihkan kenderaan sehingga menyebabkan kerosakan pada cermin tingkap Perodua Bezza tersebut.
"Rakan kepada pengusaha kilang berkenaan telah mengarahkan kumpulan lelaki tersebut untuk mengubah kereta Perodua Bezza dari laluan keluar masuk ke kilang berkenaan tetapi tidak diendahkan lalu bertindak membaling alat pemadam api ke arah kereta Perodua Bezza yang telah memecahkan cemin tingkap penumpang hadapan kereta", ujar Zaidi dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin.
Tindakan rakan pengusaha kilang itu kemudian mencetuskan pergaduhan apabila kumpulan tersebut bertindak balas menyerang beliau dan pengusaha kilang.
Salah seorang lelaki turut menggunakan rantai besi sebelum mengeluarkan sebilah parang dan cuba menyerang pengusaha kilang dan rakannya, namun telah diredakan oleh ketua kumpulan lelaki terbabit.
Menurut Zaidi, akibat daripada kejadian itu, pengusaha kilang terbabit mengalami kecederaan pada telinga kiri dan tubuh sementara rakannya mengalami kecederaan di belakang kepala dan menerima lima jahitan.
"Pengusaha kilang mendapat cedera ringan di telinga kiri dan sakit sakit di tubuh badan manakala rakannya mendapat cedera luka di belakang kepala dan menerima lima jahitan di pusat kesihatan Menggatal," tambah Zaidi.
Kes disiasat bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mendatangkan kecederaan dengan senjata bahaya.
Kedua-dua suspek yang ditangkap iaitu ketua kumpulan dan pekerjanya masing-masing berusia 47 dan 53 tahun. Polis masih mengesan kedudukan dua lagi suspek yang terlibat dalam pergaduhan itu.
Pihak polis turut menafikan kejadian yang berlaku mempunyai kaitan dengan aktiviti kongsi gelap.
#pergaduhan #Tular #media sosial #Sepanggar