Polis tahan dua lelaki terlibat sindiket Ah Long Siber

Adie Sufian Zulkefli
September 14, 2022 12:31 MYT
Ahmad Shukri menunjukkan kepada media antara barang rampasan hasil tangkapan yang dibuat pada petang Ahad lalu. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Rakaman wajah menerusi kamera litar tertutup (CCTV) membawa kepada intipan dan penangkapan dua lelaki yang didakwa aktif memeras ugut dan menyimbah cat, melalui sindiket yang dikenali sebagai Ah Long Siber.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kedua-dua suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada jam 6.30 petang Ahad.
Menurutnya, sebaik mengenal pasti suspek, polis melancarkan Op Vulture dan berjaya menahan kedua-duanya ketika sedang mencari rumah peminjam untuk menampal notis amaran dan menyimbah cat merah.
Ketika itu, suspek berada di sekitar Taman Seri Tandop, Batu 3, Tandop dan didapati menggunakan modus operandi baharu, iaitu dengan menyewa kereta dan datang ke rumah peminjam, supaya sukar dikesan polis.
"Ah long siber ni adalah ah long yang menawarkan pinjaman melalui iklan di sosial media dengan niat melakukan pemerasan dan ugutan.
Along Siber | Polis tahan dua lelaki terlibat sindiket
"Pada awalnya, peminjam perlu mengisi maklumat pada mana-mana pautan dalam internet yang diberikan dan pinjaman itu akan diluluskan seberapa segera.
"Dan 50 peratus wang yang hendak dipinjam itu akan dipindahkan ke dalam bank mangsa, sama ada mangsa bersetuju ataupun tidak.
"Jadi, peminjam dipaksa membuat bayaran lebih empat kali ganda daripada jumlah pinjaman," katanya sambil menunjukkan barang rampasan kepada pemberita pada sidang media di IPD Kota Setar di sini hari ini.
Jelas Ahmad Shukri, siasatan polis mendapati, suspek berusia 38 dan 41 tahun yang juga peminjam, bekerja dengan sindiket Ah Long Siber ini selepas mereka terperangkap untuk melunaskan hutang.
Kedua-dua suspek turut mengaku melakukan kegiatan itu sejak Ogos lalu di tiga daerah iaitu Alor Setar, Kubang Pasu dan Pendang.
Katanya, mereka menerima bayaran mengikut pakej iaitu RM350 untuk simbah cat, RM150 merantai pagar dan RM50 untuk tampal notis ugutan.
Polis turut merampas dua telefon bimbit, sampul surat berwarna coklat, surat yang bertulis kata-kata amaran untuk mengugut peminjam dengan pen merah, pen kekal berwarna hitam, topi berwarna celoreng askar, kasut berwarna merah, cat sembur berwarna merah, minyak petrol, rantai besi yang digunakan untuk mengunci pagar rumah mangsa, pita pelekat, beg silang, baju, sebuah motosikal jenis Honda Vario dan sebuah kereta jenis Perodua Axia.
Ahmad Shukri berkata, kedua-dua suspek itu hanya berurusan dengan sindiket utama itu melalui aplikasi WhatsApp.
Katanya, sebagai bukti mereka menjalankan tugas seperti yang diarahkan, mereka hanya mengambil gambar dan video sebelum menghantarnya melalui WhatsApp.
Setakat ini, terdapat 20 laporan polis dipercayai berkaitan dengan peras ugut dan simbah cat melibatkan kumpulan sindiket ini.
Menurut Ahmad Shukri, hasil ujian urin mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana menjalankan aktiviti pemberi pinjaman tanpa lesen. Sabit kesalahan boleh didenda RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, bagi kesalahan dadah, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula 12 September hingga Khamis ini.
#Dadah #peras ugut #sindiket Ah Long Siber #pemberi pinjam
;