Polis tahan dua lelaki terlibat pergaduhan semasa pertandingan MMA
Bernama
Februari 24, 2025 22:09 MYT
Februari 24, 2025 22:09 MYT
Tangkapan dilakukan ke atas kedua-dua individu warga tempatan berusia 45 dan 40 tahun itu dengan masing-masing mempunyai empat dan lima rekod lampau atas pelbagai kesalahan jenayah. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam pergaduhan berkumpulan pada pertandingan seni bela diri campuran (MMA) di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pergaduhan itu tercetus akibat pertengkaran yang berlaku antara dua peserta yang dibatalkan penyertaan kerana ketidakhadiran pihak lawan atas alasan sakit.
Beliau berkata pertengkaran itu kemudiannya bertukar kepada provokasi sehingga mendorong penyokong masing-masing iaitu kira-kira 15 individu bergaduh, sekali gus menyebabkan kecederaan kepada seorang peserta lelaki berusia 45 tahun.
"Bertindak atas maklumat pada 5.20 petang semalam, tangkapan dilakukan ke atas kedua-dua individu warga tempatan berusia 45 dan 40 tahun itu dengan masing-masing mempunyai empat dan lima rekod lampau atas pelbagai kesalahan jenayah.
"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah. Berdasarkan makluman, mangsa warga tempatan juga berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di hospital," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Iqbal berkata pihaknya juga sedang menyiasat dakwaan terdapat penglibatan kongsi gelap sehingga menyebabkan situasi menjadi tidak terkawal dalam kejadian berkenaan.
Beliau berkata kedua-dua suspek direman dua hari bermula hari ini sehingga esok dengan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video yang memaparkan aksi pergaduhan berkenaan, dengan beberapa individu dilihat saling memukul menggunakan kerusi plastik sebagai senjata.
-- BERNAMA