Polis tahan dua lelaki, rampas ganja bernilai lebih RM25,000

Bernama
Julai 6, 2024 23:24 MYT
Wan Kamarul Azran berkata kedua-dua lelaki yang bekerja sebagai pemandu e-hailing dan pengusaha kedai nurseri itu ditahan bersama 8,122.5 gram ganja dalam operasi pada 4.35 petang. - Gambar fail/BERNAMA
SEPANG: Polis menahan dua lelaki dan merampas dadah jenis ganja bernilai lebih RM25,000 dalam serbuan di Cyberjaya dan Dengkil, Selangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kedua-dua lelaki yang bekerja sebagai pemandu e-hailing dan pengusaha kedai nurseri berusia 23 dan 29 tahun itu ditahan bersama 8,122.5 gram ganja dalam operasi pada 4.35 petang.
Beliau berkata analisa mendapati dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 8,122 pengguna dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak satu gram.
"Hasil ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek didapati positif dadah jenis THC," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kedua-dua suspek katanya direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
-- BERNAMA
#polis tahan #Rampas dadah #ganja #Polis Daerah Sepang
;