Polis tahan dua lelaki, rampas 58 kotak bunga api bernilai RM15,000
Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 19, 2023 15:25 MYT
Januari 19, 2023 15:25 MYT
SEPANG: Pihak polis berjaya merampas 58 kotak yang mengandungi pelbagai jenis bunga api selain menahan dua lelaki warga Bangladesh berusia 26 dan 29 tahun ketika melakukan pemeriksaan di sebuah kedai serbaneka di Putra Perdana, Sepang 17 Januari lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, ketika kejadian pihaknya sedang melakukan pemantauan operasi penjualan bunga api di sekitar kawasan tersebut.
“Semasa pemeriksaan dibuat, didapati dua lelaki warganegara Bangladesh bekerja di premis berkenaan.
“Pasukan serbuan telah membuat pemeriksaan di dalam premis dan menjumpai 58 kotak pelbagai jenis bunga api dari jenis ‘Pop Pop’ dan ‘Happy Boom’. Penjaga premis gagal menunjukkan permit membawa masuk atau keluar dan menjual bahan letupan dan bunga api,” katanya dalam sidang media yang diadakan di sini hari ini.
Nilai kesemua rampasan yang dibuat dianggarkan lebih RM15,000 dan pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah seksyen 8 Akta Bahan Letupan 19857 dan 39 (b) Peraturan Imigresen 1963.
Pihaknya juga menyeru orang ramai agar segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui wujudnya aktiviti penjualan mercun atau tempat penyimpanan mercun di sekitar kawasan mereka.