Polis tahan dua lelaki pukul pekerja kedai makan kerana lambat terima pesanan
Bernama
Ogos 25, 2023 00:35 MYT
Ogos 25, 2023 00:35 MYT
KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki disyaki memukul dua pekerja kedai makan kerana pesanan lambat disediakan dalam kejadian di sebuah kedai makan di Jalan Perhentian Haji Salleh di sini, pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata dalam insiden kira-kira 6 pagi itu, seorang lelaki bertindak memaki hamun dan memukul pekerja berkenaan menggunakan penyapu setelah pesanannya tidak dapat disiapkan segera berikutan kedai baru dibuka.
Beliau berkata lelaki terbabit kemudian datang bersama seorang rakannya pada 8.30 pagi dan sekali lagi memaki hamun pekerja dan merosakkan peralatan di gerai tersebut hingga menyebabkan kerugian kira-kira RM12,000.
"Bertindak atas panggilan MERS 999, pihak polis telah menghantar sepasukan anggota dari Cawangan Kereta Peronda (MPV) ke tempat kejadian sebelum kedua-dua suspek ditangkap di kedai bersebelahan dengan tempat kejadian," katanya dalam kenyataan malam ini.
Ahmad Sukarno berkata polis turut merampas sebatang cota dan satu topi keledar yang dipercayai digunakan ketika kejadian.
Beliau berkata hasil semakan mendapati seorang daripada lelaki itu mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.
Kedua-duanya akan dibawa ke mahkamah esok untuk direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan Seksyen 427 kanun sama kerana perbuatan khianat.
-- BERNAMA
#polis tahan
#pukul pekerja kedai makan
#pesanan lambat
#Jalan Perhentian Haji Salleh
#Polis Daerah Sentul