Polis tahan dua lelaki fitnah polis curi duit, di Facebook

Adie Sufian Zulkefli
April 11, 2020 10:54 MYT
Salah seorang suspek yang ditahan kerana disyaki memfitnah polis melalui hantaran di media sosial malam tadi. - Astro AWANI
Tidak sampai dua jam selepas memuat naik status di Facebook memfitnah polis mengambil duit ketika pemeriksaan di sekatan jalan raya, dua lelaki ditahan malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata, selepas mendapat laporan berkaitan hantaran itu, suspek pertama berusia 27 tahun ditahan kira-kira jam 11.30 malam.
Dia ditahan di rumahnya di Kampung Sungai Baru Gunung, dekat sini.
Jelasnya, dalam hantaran di media sosial itu, suspek memuat naik status mendakwa kononnya polis telah mengambil wang dari rakannya yang bekerja sebagai ejen penghantar makanan.
Kejadian itu dakwanya berlaku ketika sekatan jalan raya di Jalan Pantai Johor, malam tadi.
Suspek yang juga seorang peniaga makanan itu bagaimanapun mengaku sudah memadam status berkenaan yang ditulis malam tadi namun sempat ditangkap layar polis.
Difahamkan, status itu berbunyi "runner kena pau dengan polis depan kedai besi buruk Alor Merah Pantai Johor habis duit niaga hari ni polis ada hak ka buka wallet kita check?? 8.10 pm runner kena, tu pun runner dah otw balik dah...hmmm"
Mohd Rozi berkata, hasil siasatan lanjut mendapati suspek memuat naik status itu selepas dimaklumkan oleh suspek kedua berusia 26 tahun, kononnya polis membuka dompetnya dan mengambil wang ketika pemeriksaan.
Susulan itu katanya, suspek kedua ditahan pada jam 11.40 malam di tepi jalan di sekatan persimpangan lampu isyarat Pantai Johor ke Gunung Keriang selepas dihubungi polis untuk siasatan lanjut.
Mohd Rozi berkata, kedua-dua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.
Malah hasil siasatan juga mendapati suspek kedua juga cuba merasuah anggota polis ketika sedang melakukan pemeriksaan di sekatan di Pantai Johor.
Polis turut merampas dua telefon bimbit milik kedua-dua suspek untuk membantu siasatan.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek kedua positif dadah jenis methapetamine manakala suspek pertama negatif.
Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
#Alor Setar #dompet #Facebook #fitnah #Mohd Rozi Jidin #peniaga makanan #polis #suspek
;