Polis tahan dua lelaki disyaki pukul wanita, pandu secara berbahaya

Bernama
Julai 31, 2024 09:10 MYT
Kedua-dua lelaki berusia 25 dan 26 tahun itu ditahan sekitar Kajang pada 4 pagi tadi dan direman enam hari bagi membantu siasatan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki disyaki memukul seorang wanita dan memandu secara berbahaya dengan melanggar beberapa kenderaan lain di Batu 9, Cheras di sini, Ahad lepas seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata kedua-dua lelaki berusia 25 dan 26 tahun itu ditahan sekitar Kajang pada 4 pagi tadi dan direman enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 279 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata siasatan mendapati kenderaan itu digunakan suspek untuk melarikan diri selepas memukul seorang wanita berusia 29 tahun sehingga cedera parah menggunakan topi keledar di Taman Saujana Impian di sini.
"Kedua-dua lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah masing-masing 12 dan 22 rekod," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Naazron berkata motif kejadian masih dalam siasatan polis.
Terdahulu, tular di media sosial dua video memaparkan sebuah kereta jenis Honda City berwarna putih dipandu dalam keadaan berbahaya sebelum melanggar beberapa buah kenderaan lain.
-- BERNAMA
#dua lelaki ditahan #polis #pukul wanita #pandu berbahaya #jenayah