Polis tahan dua lelaki dan seorang wanita 'berniaga' dadah di beranda rumah

Bernama
Julai 3, 2019 15:05 MYT
Semasa ditahan suspek bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan, sebelum semuanya ditangkap. - Gambar hiasan
Tindakan berani tiga individu menjual dadah secara terbuka di beranda rumah membawa padah apabila mereka diberkas pada Op Sarang Khas, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Amran Sidek berkata suspek termasuk seorang wanita berusia dalam lingkungan umur antara 33 dan 36 tahun ditahan pada pukul 11.30 malam di Kampung Bentan di sini, dan semasa ditahan suspek bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan, sebelum semuanya ditangkap.
"Risikan yang dijalankan selama hampir dua bulan mendapati kawasan beranda rumah itu bukan hanya dijadikan lokasi penjualan, namun juga tempat menghisap dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Dearah Pekan di sini, hari ini.
Beliau berkata 16.58 gram dadah jenis heroin dan 0.92 gram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM800 turut dirampas, dan siasatan dijalankan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati.
Dalam perkembangan lain, Amran memaklumkan polis menahan 23 individu berusia antara 21 dan 26 tahun atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah pada Op Sarang Khas yang dilaksanakan selama tiga hari bermula 28 Jun lalu.
"Operasi ini dijalankan sekitar kawasan Felda Chini, Pulau Serai, Permatang Pauh dan Kampung Bentan. Kita juga merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu, heroin, eramin 5, ubat batuk dan air ketum dengan nilai kira-kira RM1,900 dan menahan tiga lelaki yang disyaki pengedar dadah berumur antara 22 dan 25 tahun," katanya.
-- BERNAMA
#Akta Dadah Berbahaya #heroin #op sarang khas #Pekan #polis pdrm #suspek #Syabu #urus niaga dadah #urus niaga dadah di beranda
;