Polis tahan dua lelaki babit kes remaja dirogol, mengandung

Aida Aziz
Julai 23, 2024 22:10 MYT
Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Gerik telah membuat tangkapan ke atas dua lelaki berusia 18 dan 20 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes seorang remaja perempuan yang dipercayai dirogol. - Gambar hiasan
GERIK: Polis menahan dua lelaki, masing-masing berusia 18 dan 20 tahun, bagi membantu siasatan berhubung kes seorang remaja perempuan yang dipercayai dirogol.
Menurut Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik menerima laporan berhubung perkara itu pada Ahad, 21 Julai lalu.
"Kira-kira 11.09 pagi, IPD Gerik menerima satu laporan berkaitan seorang mangsa iaitu remaja perempuan berusia 17 tahun 8 bulan dipercayai telah dirogol.
"Hasil pemeriksaan lanjut dari pihak Klinik Kesihatan Lenggong, mangsa disahkan mengandung," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sehubungan itu, katanya, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Gerik telah membuat tangkapan ke atas dua lelaki berusia 18 dan 20 tahun.
Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTKK 2017).
#rogol #polis tahan dua lelaki #remaja dirogol #Gerik