Polis tahan dua individu terlibat perhimpunan haram di Little India, Brickfields

Sahlizah Mohamed
Ogos 23, 2019 15:38 MYT
Polis menahan dua individu berusia 34 dan 67 tahun pada perhimpunan bantahan tulisan khat yang diadakan di Little India, Brickfields pada Jumaat.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua individu berusia 34 dan 67 tahun pada perhimpunan bantahan tulisan khat yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan SJK (C) di Water Fountain, Little India, Brickfields, pada Jumaat malam.
Penahanan itu dibuat selepas didapati ia menyalahi undang-undang Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah dan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dalam satu kenyataan berkata, perhimpunan berkenaan diadakan tanpa kebenaran dari pihak polis.
Notis pemakluman yang dikemukakan oleh penganjur tidak memenuhi Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Hasil pemantauan pihak polis mendapati peserta telah beredar secara aman dari kawasan air pancut tersebut.
Polis Kuala Lumpur amat komited dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin.
Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis dalam usaha mengekalkan keamanan dan keharmonian di negara ini yang terdiri dari pelbagai kaum.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
#bantah tulisan khat #Brickfields #keselamatan #Little India #PDRM #perhimpunan haram #undang-undang #Zakir Naik