Polis tahan dua individu bantu siasatan 1MDB
Astro Awani
Ogos 1, 2015 13:26 MYT
Ogos 1, 2015 13:26 MYT
Polis mengesahkan menahan dua individu - seorang bekas penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seorang pegawai dari Jabatan Peguam Negara -- untuk membantu siasatan berhubung akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Salah seorang daripada individu tersebut dipercayai berjumpa dengan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di London, baru-baru ini.
Penahanan dipercayai berkaitan dengan siasatan Pasukan Petugas Khas yang dipertanggungjawabkan meneliti isu 1MDB.
Siasatan bermula susulan timbul dakwaan wujud pemindahan dana 1MDB ke akaun persendirian milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Perintah tahanan reman untuk dua individu terbabit dijangka dikeluarkan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini. Kedua-dua suspek ditahan di bawah Seksyen 124 bawah Kanun Keseksaan.
Majistret telah menyambung reman sehingga tengah malam ini bagi kedua-dua individu di IPD di sini.
Berdasarkan pemerhatian Astro AWANI pada tengahari Sabtu, kedua-dua individu tersebut masih berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan belum dibawa ke Mahkamah Majistret di sini. Hanya peguam dan ahli keluarga individu berikut yang kelihatan di mahkamah buat masa ini.
Sebelum ini, lima individu termasuk dua pengarah urusan berpangkat Datuk turut direman untuk membantu siasatan.
Kesemua mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM.