Polis tahan dua beranak, rampas kelopak peluru M16
Ridzal Abdullah
September 22, 2016 19:40 MYT
September 22, 2016 19:40 MYT
Polis Kontinjen Sabah masih menyiasat seorang bapa dan anak perempuannya yang ditangkap kerana memiliki 30 butir peluru dan tiga kelopak peluru senjata jenis M-16 sekiranya mempunyai kaitan dengan kumpulan penjenayah rentas sempadan atau pengganas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Salehhudin Abdul Rahman berkata, kedua-dua mereka berumur 33 tahun dan 13 tahun itu merupakan warganegara Filipina yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta tidak berkerja.
"Bertindak atas maklumat, pada hari Selasa lalu mereka telah ditangkap hasil serbuan di salah sebuah rumah di Kampung Mangkalinau Batu 3, Sandakan.
"Selain daripada memliiki peluru dan kelopak peluru, mereka juga memiliki sebilah pedang samurai termasuk hulu pedang," katanya.
Menurut Salehhudin lagi, kedua-dua suspek positif dadah dan akan direman sehingga 29 September ini untuk siasatan lanjut.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 7 tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Salehhudin juga meminta orang ramai agar tidak panik dan mempercayai sebarang khabar angin yang mudah disebarkan melalui media sosial dan aplikasi mesej WhatsApp.