Polis tahan dalang sindiket kes wang dalam akaun hilang libatkan RM24.2 juta

Bernama
Jun 16, 2024 23:22 MYT
Mohamed Ramli berkata lelaki itu dipercayai terlibat secara langsung dalam kes tersebut.- Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki disyaki dalang sindiket yang terbabit dalam kes mengeluarkan wang daripada beberapa akaun simpanan tetap melibatkan kerugian sebanyak RM24.2 juta.
Penahanan lelaki berusia 40-an itu di Sabah pada Jumaat dibuat setelah polis menahan seorang wanita yang merupakan kakitangan sebuah bank di Kota Kinabalu, Sabah, 13 Jun lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Mohamed Ramli Yoosuf berkata lelaki itu dipercayai terlibat secara langsung dalam kes tersebut.
"Setakat ini, kita menahan dua individu dan percaya lebih ramai lagi yang terbabit dalam sindiket pakatan jenayah ini sehingga berlakunya transaksi pengeluaran wang daripada akaun simpanan tetap," katanya ketika dihubungi.
Semalam, Ramli berkata siasatan menunjukkan terdapat penglibatan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersubahat bagi urusan pengeluaran wang kerana ia hanya boleh dilakukan melalui pakatan dalaman bank.
Beliau berkata pihaknya menerima empat laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank pada awal Jun lepas di Petaling Jaya, Selangor apabila mangsa menyedari terdapat pengeluaran wang mencurigakan yang dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.
Ramli berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihaknya sedang mengesan serta mengenal pasti beberapa individu lain yang terbabit.
-- BERNAMA
#akaun simpanan #Bukit Aman #ahli sindiket #Kanun Keseksaan
;