Polis tahan bekas tentera kerana tetak polis

Bernama
Januari 18, 2023 19:39 MYT
Kejadian bermula pada kira-kira pukul 10.30 pagi Isnin apabila lelaki itu bertindak agresif dan merosakkan van milik Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) yang sedang menjalankan operasi. - Gambar hiasan
TANAH MERAH: Polis menahan sorang bekas tentera yang bertindak menetak seorang Inspektor polis dengan dua bilah parang sehingga cedera, dalam satu kejadian di Kampung Batu Gajah, di sini, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah Supt Mohd Haki Hasbullah berkata lelaki berusia 40 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, pada pukul 10 malam.
Beliau berkata kejadian bermula pada kira-kira pukul 10.30 pagi apabila lelaki itu bertindak agresif dan merosakkan van milik Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) yang sedang menjalankan operasi sekitar sini, sebelum melarikan diri.
Katanya satu laporan polis telah dibuat mengenai kejadian itu, dan polis kemudiannya pergi ke rumah suspek pada sebelah malamnya.
"Ketika di rumah itu, suspek tiba-tiba menyerang polis dengan dua bilah parang menyebabkan pegawai polis yang mengetuai operasi cedera di belakang tapak tangan kiri, dan menerima lima jahitan selain calar di bahu kanan," katanya pada sidang media di IPD Tanah Merah, di sini hari ini.
Mohd Haki berkata suspek yang didapati positif methampethamine itu direman selama empat hari, dan siasatan mendapati suspek yang ditamatkan perkhidmatan sebagai tentera tiga tahun lepas itu memiliki dua rekod jenayah lampau serta tiga rekod bersabit dadah.
-- BERNAMA
#tetak polis #Tanah Merah #parang #inspektor polis cedera
;