Polis tahan anggota sindiket penipuan menyamar pegawai polis

Adie Sufian Zulkefli
Disember 20, 2022 10:00 MYT
Semua suspek masing-masing dua lelaki serta seorang wanita berusia 24 hingga 44 tahun itu direman selama dua hari. - Gambar hiasan
KULIM: Polis menahan tiga individu selepas salah seorang daripadanya menipu dengan menyamar sebagai pegawai polis.
Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, tangkapan semua suspek dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim pada Isnin susulan laporan dibuat seorang wanita pada 11 Disember lalu.
“Wanita berkenaan dalam laporannya mendakwa dia menjadi mangsa penipuan selepas dihubungi seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis dan menawarkan bantuan untuk membebaskan suaminya yang ditahan dalam lokap kerana kes dadah.
“Mangsa kemudian diminta membayar RM5,000 sebelum diberikan satu akaun bank dan wanita terbabit yang tidak mengesyaki penipuan itu mengikut arahan suspek.
“Selepas memasukkan wang mangsa membuat semakan dengan pegawai penyiasat kes sebelum menyedari yang dia sebenarnya ditipu individu yang menyamar sebagai pegawai polis itu.
"Susulan daripada itu mangsa membuat laporan berhubung kes terbabit dan polis berjaya menahan tiga suspek berkenaan di dua lokasi berasingan di Selangor serta Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Redzuan berkata, semakan mendapati seorang daripada suspek yang juga 'mastermind' dalam kegiatan jenayah itu mempunyai 46 rekod lampau bersabit kesalahan sama.
Semua suspek masing-masing dua lelaki serta seorang wanita berusia 24 hingga 44 tahun itu direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Polis turut merampas tujuh telefon bimbit, tiga keping kad ATM Bank serta kertas catatan maklumat tahanan lokap beserta nombor telefon mangsa.
#sindiket penipuan #menyamar pegawai polis #reman #Mohd Redzuan Salleh
;