Polis tahan 8 pemuda bawa wang dari Filipina
T K Letchumy Tamboo
Mac 15, 2013 18:35 MYT
Mac 15, 2013 18:35 MYT
Polis telah menahan lapan pemuda dari Filipina yang menaiki bot laju untuk memasuki kawasan operasi di Kampung Sungai Bilis semalam.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata pemuda-pemuda itu yang berusia dalam lingkungan 17 ke 18 tahun cuba memasuki Kampung Sungai Bilis kira-kira pukul 12.15 tengahari semalam.
“Semasa membuat pemeriksaan, kita dapati mereka membawa 300 bekas air kosong dan wang tunai 369,000 pesos (RM28,300).
“Mereka tidak mempunyai apa-apa senjata,” kata beliau semasa satu sidang media di sini.
Hamza berkata pemuda-pemuda itu kini disiasat dibawah Akta Imigresen kerana mereka tidak mempunyai sebarang dokumen.
“Sekiranya terdapat keterangan dan maklumat untuk menuduh mereka dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), kita akan berbuat demikian,” ujarnya lagi.
Setakat ini seramai 97 orang telah ditahan dibawah Sosma.