Polis tahan 7 lelaki tempatan culik seorang lelaki warga Bangladesh
Bernama
Februari 19, 2022 18:26 MYT
Februari 19, 2022 18:26 MYT
SHAH ALAM: Polis Klang Selatan menahan tujuh lelaki tempatan di sekitar Shah Alam dan Klang awal pagi semalam disyaki terlibat dengan kes penculikan seorang pekerja binaan warga Bangladesh.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata, kesemua suspek lelaki berusia 20 hingga 25 tahun diberkas, antara pukul 1.30 hingga 4 pagi selepas adik mangsa membuat laporan polis kira-kira pukul 1 pagi pada hari yang sama.
Katanya menurut laporan, adik mangsa berusia 32 tahun itu menerima panggilan daripada seorang suspek menggunakan telefon milik abangnya berusia 38 tahun kira-kira pukul 8.57 malam, pada Khamis lepas.
"Menerusi panggilan itu, suspek memaklumkan abangnya itu ada bersama mereka dan meminta RM50,000 sekiranya mahu dilepaskan atau jika enggan memberikan wang mereka akan pergi ke rumahnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hampir sejam kemudian kumpulan suspek itu telah datang dengan membawa mangsa dan telah memukul adiknya dan tiga rakannya di rumah tersebut, sebelum suspek beredar dengan membawa sekali mangsa.
Katanya, mangsa berjaya ditemui di tepi jalan di Shah Alam kira-kira pukul 1.31 pagi hari sama selepas ditinggalkan suspek. Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.
Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 22 Februari dan kes disiasat di bawah Seksyen 395, Seksyen 397 dan Seksyen 365.
Sementara itu, Polis Shah Alam sedang menyiasat kes berkenaan video tular memaparkan sebuah kereta yang memandu di lorong motosikal pada Rabu lepas di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dari arah arah Klang ke Kuala Lumpur.
Ketua Timbalan Polis Daerah Shah Alam Ramsay Anak Embol dalam kenyataan berkata hasil siasatan awal mendapati seorang wanita berumur 69 tahun yang memandu dari rumahnya di Banting telah tersesat jalan, untuk pergi ke rumah anak saudaranya di Pandamaran.
"Pemandu itu telah panik dan hendak membuat pusingan U namun tersalah masuk ke laluan motosikal. Warga emas itu kemudian berhenti dan mengundurkan kenderaan untuk keluar semula ke laluan betul di Lebuh Raya Kesas," katanya.
Beliau berkata kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kemalangan dan kecederaan dan kes disiasat dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.
-- BERNAMA