Polis tahan 48 individu termasuk wanita warga asing dalam Op Noda
Bernama
Julai 2, 2024 20:15 MYT
Julai 2, 2024 20:15 MYT
SEREMBAN: Polis menahan enam lelaki tempatan dan 42 wanita warga asing dalam Op Noda yang dijalankan di enam premis hiburan sekitar bandar raya ini, pada Jumaat lepas.
Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Abd Khalid Othman berkata kesemua yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 65 tahun manakala wanita asing itu terdiri daripada warga Thailand, Vietnam, Myanmar, Indonesia dan China.
"Kesemua wanita itu didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah. Selain itu, polis turut merampas wang tunai RM2,026 beserta peralatan hiburan yang digunakan di premis terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan mendapati lima premis terlibat tidak mempunyai lesen perniagaan dan lesen hiburan.
Susulan itu, katanya polis membuka enam kertas siasatan melibatkan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998.
-- BERNAMA