Polis tahan 4 lelaki, rampas pelbagai pistol, peluru

Dewi Nur Harasha Alias
Julai 29, 2024 05:20 MYT
Polis Pulau Pinang merampas pelbagai senjata api dan senjata api tiruan dalam serbuan di Sungai Bakap. - Gambar/ PDRM
GEORGE TOWN: Polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan kes pergaduhan dalam siri serbuan di sekitar Pulau Pinang, pada Sabtu.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata hasil penahanan itu, pihaknya merampas pelbagai senjata api dan senjata api tiruan.
Katanya, seorang lelaki ditahan di Juru sebelum polis menahan tiga lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian pergaduhan pada 13 Jun.
"Hasil siasatan awal dan pemeriksaan polis di sebuah rumah di Sungai Bakap milik seorang daripada lelaki yang ditahan itu, polis menemukan pelbagai senjata api di situ.
"Kami merampas dua pucuk pistol angin jenama We Tactical bersama kelopak tanpa peluru, satu kelopak dan satu bungkusan ball bearing dan satu botol tertera tulisan green gas di rumah itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis kemudiannya dibawa ke rumah di Sungai Bakap dan pejabat di Kampung Baru Valdor, yang tidak jauh dari kediaman tersebut.
"Dalam pemeriksaan di pejabat itu, polis merampas sepucuk pistol dan kelopak peluru daripada pistol jenis Glock selain empat butir peluru pelbagai jenis.
"Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung rampasan kesemua senjata tersebut sama ada digunakan suspek atau kumpulan itu untuk kegiatan jenayah atau kegiatan lain," katanya.
Beliau berkata, tiga lelaki yang berumur antara 19 tahun dan 24 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, manakala seorang lagi suspek berusia 27 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.
Katanya hasil siasatan ke atas kesemua lelaki yang ditahan itu mendapati seorang daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan kesemua lelaki itu kini direman selama tujuh hari sehingga 1 Ogos nanti bagi membantu siasatan.
#pergaduhan #pulau pinang #rampasan senjata #senjata api