Polis tahan 3 individu bantu siasatan kes serangan Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang

Dewi Nur Harasha Alias
Julai 28, 2021 15:14 MYT
Ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan usia 45 hingga 51 itu ditahan di sekitar Perai Ahad lepas.
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang telah menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes tetak Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang, Datuk M Ramachandran pada Jumaat lepas.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan usia 45 hingga 51 itu ditahan di sekitar Perai Ahad lepas.
Menurut beliau, setakat ini, polis sudah mengambil keterangan 14 individu bagi membantu siasatan kes tersebut.
Ditanya sama ada serangan membabitkan kumpulan gengster, Mohd Shuhaily berkata setakat ini siasatan masih dijalankan dan enggan mengulas lanjut.
Pada Jumaat, M. Ramachandran cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjata dalam kejadian di hadapan rumahnya di Taman Alma, Machang Bubok.
Warga emas berusia 70 tahun itu diserang sebaik beliau turun daripada kereta untuk masuk ke rumahnya kira kira jam 7 malam.
Mangsa yang cedera pada bahagian leher, peha, belakang kepala serta badan dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk rawatan lanjut.
BACA: Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang parah ditetak
#tiga lelaki ditahan #bantu siasatan #kes tetak #kumpulan gengster #Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang #M Ramachandran #Ketua Polis Negeri #Mohd Shuhaily Mohd Zain #Taman Alma #Machang Bubok
;