Polis tahan 27 PATI dalam operasi bersepadu di Lahad Datu

Bernama
Februari 4, 2017 14:32 MYT
Polis Lahad Datu menahan 27 PATI dalam operasi bersepadu di perkampungan atas air kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri. - Gambar hiasan
Polis Lahad Datu menahan 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi bersepadu di perkampungan atas air di sini kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hamzah Ahmad berkata daripada jumlah itu 24 orang adalah warga Filipina dan tiga warga Indonesia berumur lingkungan empat hingga 50 tahun yang ditahan di Kampung Sabah Baru pada pukul 2.30 pagi.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki, lima wanita, lapan kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.
"Kesemua mereka adalah antara 230 individu dari 122 rumah yang diperiksa di perkampungan air tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Hamzah berkata, kesemua mereka telah dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pasport 1966.
Menurutnya, seramai 88 anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Imigresen, Majlis Daerah Lahad Datu dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyertai operasi bersepadu yang berakhir pada pukul 7 pagi itu.
--BERNAMA
#ACP Hamzah Ahmad #Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) #ATM #pati #PTS