Polis tahan 24 individu terlibat judi nombor ekor tidak berlesen
Bernama
Januari 5, 2017 18:10 MYT
Januari 5, 2017 18:10 MYT
Polis menahan 24 orang termasuk dua wanita dalam 23 serbuan terhadap premis yang menjalankan judi nombor ekor tidak berlesen di sekitar Johor semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata dalam serbuan yang bermula pukul 4 petang itu, polis turut merampas 23 mesin cetak, 22 telefon dan wang tunai RM2,356.
Menurutnya, daripada kesemua yang ditahan itu seorang lelaki adalah warga Indonesia manakala 23 yang lain adalah warga tempatan dan mereka berusia antara 20 dan 45 tahun.
"Antara lokasi serbuan kita adalah Pekan Nenas, Benut, Muar, Batu Pahat, Seri Alam, Tangkak dan Segamat.
"Serbuan berakhir pada pukul 7 malam kerana pada ketika itu keputusan nombor ekor tersebut baru diumumkan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata sebelum itu risikan telah dijalankan selama seminggu dan serbuan semalam dijalankan serentak oleh 50 anggota.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, katanya. - BERNAMA