Polis tahan 2 beradik miliki dadah hampir RM100,000 di Kampung Perangkap

Wanna Abd Rahim
Mac 12, 2023 18:02 MYT
Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, penahanan mereka susulan tangkapan seorang buruh berusia 48 tahun di kampung yang sama. - Gambar fail
KOTA BHARU: Polis menahan dua beradik yang dipercayai memiliki dadah bernilai RM96,000 dalam serbuan di Kampung Perangkap, Bunut Susu, Pasir Mas, pada Khamis.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, penahanan mereka susulan tangkapan seorang buruh berusia 48 tahun di kampung yang sama.
"Polis merampas tiga bungkusan mengandungi 9,600 pil Yaba yang bernilai RM96,000 dipercayai milik dua beradik berkenaan.
"Kedua-dua mereka berusia 21 dan 24 tahun yang bekerja sebagai peniaga itu bagaimanapun tidak memiliki rekod jenayah lampau," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya polis turut merampas 2,000 biji pil Yaba dianggarkan bernilai RM20,000 dalam serbuan ke atas suspek buruh tersebut.
"Semua suspek direman sehingga 16 Mac ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
#dua beradik pengedar dadah #kampung perangkap #PDRM #Zaki Harun
;