Polis tahan 15 termasuk tokan dadah di Beruas
Abd Razak Mohd Ali
Februari 22, 2022 15:51 MYT
Februari 22, 2022 15:51 MYT
LUMUT: Polis berjaya menahan 15 penagih tegar termasuk dua tokan dalam operasi Op Sarang Khas/Op Cegah Jenayah di sebuah kebun kelapa sawit di Beruas, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, operasi lapan jam itu dilakukan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak; Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dan anggota Balai Polis Beruas.
Menurutnya, kesemua lelaki berusia 21 hingga 61 tahun itu ditahan bersama 337 gram dadah jenis heroin dan syabu serta dua biji pil eramin 5 yang dianggarkan bernilai RM13,168.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu mula aktif sejak tiga minggu lalu.
"'Port' atau lubuk mereka menghisap dadah itu dibuka dari jam 10 pagi hingga 6 petang dengan seorang penagih akan membuat tinjauan terlebih dahulu.
"Sekiranya 'line clear', penagih tersebut akan menghubungi pengedar untuk masuk ke dalam.
“Kegiatan ini sering bertukar lokasi bagi mengaburi polis," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Nor Omar, peralatan menghisap turut dirampas dan hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis morfin.
Katanya, dua tokan berusia 38 tahun disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, seorang suspek disiasat mengikut Seksyen 39A(1) manakala 12 yang lain disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
"Polis turut mengeluarkan kompaun di bawah Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara Fasa 4) iaitu aktiviti kehadiran ramai sehingga menyukarkan penjarakkan sosial semasa menghisap dadah," ujarnya.