Polis tahan 15 individu disyaki terlibat dengan kegiatan pelacuran dalam Ops Noda

Bernama
September 29, 2024 22:39 MYT
Mohd Razali berkata kesemua mereka yang berumur lingkungan 21 hingga 47 tahun itu ditahan dalam Ops Noda yang bermula pukul 9 malam. - Gambar PDRM
KUALA LUMPUR: Polis menahan 11 wanita warga asing disyaki pelacur dan empat lelaki warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai 'penghantar' dalam serbuan di beberapa premis sekitar ibu negara, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bandar raya SAC Mohd Razali Mohd Idrus berkata kesemua mereka yang berumur lingkungan 21 hingga 47 tahun itu ditahan selepas Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) JSJ Kuala Lumpur menyerbu tiga hotel dan sebuah residensi dalam Ops Noda yang bermula pukul 9 malam.
Beliau ketika dihubungi Bernama memberitahu bahawa polis berjaya membongkar kegiatan pelacuran itu selepas mengenal pasti satu laman web yang menawarkan khidmat pelacur dari Thailand, Indonesia dan Vietnam, dengan bayaran ditawarkan bermula dari RM400 sejam.
Beliau berkata semua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan untuk siasatan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 372(1)(f) Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Mohd Razali berkata dalam serbuan itu pihaknya turut merampas tiga kereta dan 16 telefon bimbit.
-- BERNAMA
#warga asing #Akta Imigresen #pelacur #Ops Noda
;