Polis tahan 11 individu terlibat jenayah 'Job Scam'

Bernama
Ogos 16, 2024 23:30 MYT
Beliau berkata serbuan dilakukan kira-kira 1.30 petang dengan bantuan Pakar Analisa Media Sosial JSJK Perak. - Gambar fail/Bernama
IPOH: Polis Perak berjaya menyelesaikan 130 kes Penipuan Tawaran Pekerjaan Tidak Wujud (Job Scam) di seluruh negara berikutan penahanan 11 warga tempatan dalam Ops Khas "Calling Center" yang dilakukan di dua premis kediaman sekitar Taiping pada 14 Ogos lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata tujuh lelaki dan empat wanita berusia dalam lingkungan 21 hingga 26 tahun itu diberkas bersama lima buah kenderaan serta pelbagai peralatan lain, disyaki digunakan untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral berkenaan yang dianggarkan berjumlah RM500,000.
Beliau berkata serbuan dilakukan kira-kira 1.30 petang dengan bantuan Pakar Analisa Media Sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak.
"Dalam siasatan yang dijalankan, peralatan yang dirampas antaranya lima buah kenderaan, tujuh unit komputer riba, satu unit iPad, satu set komputer, 35 unit telefon bimbit, 98 keping kad bank, empat keping jongkong emas seberat empat gram dan sebagainya," katanya pada Sidang Media Ketua Polis Perak di sini hari ini.
Beliau berkata sindiket itu dipercayai telah mula bergerak aktif sejak dua minggu lepas, selain menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Malaysia dan Singapura.
Azizi berkata kesemua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Menipu Dengan Curangnya Mendorong Supaya Harta Diserahkan) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum satu tahun dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.
Justeru, beliau berkata pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran pekerjaan yang menawarkan ganjaran lumayan dalam masa singkat, lebih-lebih lagi kerana aduan berkaitan jenayah itu sentiasa berlaku selain kebanyakannya melibatkan warga emas.
"Kita minta supaya orang awam tidak menekan pautan "URLS" atau "LINK" dan tidak memuat turun apa jua aplikasi yang tidak diketahui sumbernya.
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat apa jua pembayaran bagi pihak lain yang tidak dikenali kerana dikhuatiri boleh terjebak dengan aktiviti tidak bermoral ini," katanya.
-- BERNAMA
#media sosial #JSJK #kad bank #job scam