Polis tahan 10 lelaki merusuh di Jempol
Bernama
Februari 8, 2025 22:57 MYT
Februari 8, 2025 22:57 MYT
Hoo Chang Hook berkata kesemua lelaki berusia lingkungan 21 hingga 43 tahun itu ditahan di lokasi kejadian dan sekitar daerah itu kira-kira 11 malam hingga 3 pagi tadi. - Gambar Bernama
SEREMBAN: Polis menahan 10 lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kejadian merusuh menggunakan senjata yang berpunca daripada kemalangan jalan raya di Taman Acbe, Bahau, dekat Jempol semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata kesemua lelaki berusia lingkungan 21 hingga 43 tahun itu ditahan di lokasi kejadian dan sekitar daerah itu kira-kira 11 malam hingga 3 pagi tadi.
"Polis sebelum itu menerima laporan mengenai kemalangan membabitkan dua kereta pada 10 malam dan sebaik tiba di lokasi, didapati dua kumpulan lelaki sedang bertengkar.
"Akibat pertengkaran itu, tiga lelaki cedera selepas diserang menggunakan topi keledar dan dirujuk ke Hospital Jempol untuk mendapatkan rawatan, keadaan mereka kini dilaporkan stabil," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua lelaki itu, direman selama empat hari hingga 11 Feb ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Hoo mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu, diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di talian 06-4582222 atau Pegawai Penyiasat Insp Umu Fatihah Sulaiman di talian 019-5553065.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 33 saat di media sosial memaparkan insiden pergaduhan berkenaan yang kemudiannya berjaya dileraikan sepasukan anggota polis.
-- BERNAMA