Polis sudah selesai siasat kes remaja mati akibat bunuh diri
Astro Awani
Februari 5, 2018 17:35 MYT
Februari 5, 2018 17:35 MYT
Polis meminta semua pihak tidak membuat tuduhan dan spekulasi tidak benar mengenai kejadian seorang pelajar yang membunuh diri selepas dituduh mencuri telefon bimbit gurunya, minggu lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohammad Fuzi Harun berkata pihaknya sudah selesai melakukan siasatan berhubung kes itu.
Malah, pihaknya sudah menyerahkan kertas siasatan kepada pihak pendakwa raya pada Jumaat lepas.
Beliau juga membidas pihak tertentu yang membuat tuduhan di laman laman sosial kononnya polis tidak mengambil tindakan berhubung kes itu.
“Kita dah selesai proses siasatan dan dah hantar ke DPP minggu lalu. Banyak pihak menuduh kita tidak membuat apa-apa. Itu tidak benar sama sekali.
“Ada juga pihak yang menyalahkan Kementerian Pendidikan. Kalau kita berlebih-lebihan, kita tidak menyumbang apa-apa dan akan mengeruhkan keadaan.
“Kita harap kita mesti dapat maklumat yang tepat tentang perkara ini,” ujar Mohammad Fuzi.
Beliau memberi jaminan sentiasa berhubung dengan Ketua Polis Pulau Pinang dan Ketua Polis Daerah berhubung perkembangan lanjut kes berkenaan.
Khamis lepas, seorang remaja berusia 14 tahun meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya selepas cuba membunuh diri pada 24 Januari lalu.
Remaja tersebut dipercayai cuba membunuh diri dengan menggantung diri menggunakan sari di biliknya selepas tertekan kerana dituduh mencuri telefon bimbit gurunya.