Polis soal siasat 15 individu berhubung kes culik Morais

Astro Awani
September 11, 2015 05:18 MYT
Polis masih meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan. - Gambar fail
Polis telah merakam keterangan 15 individu bagi membantu siasatan berhubung kes penculikan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, individu-individu yang dipanggil termasuk rakan, keluarga dan pekerja Morais.
Menurutnya, polis masih meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan.
Di samping itu, katanya, polis masih lagi meneliti beberapa maklumat yang diterima serta sedang menunggu laporan Jabatan Kimia bagi pengesahan beberapa perkara, termasuk kesasihan pemilik kereta yang dijumpai terbakar di Perak, sebelum ini.
"Kereta yang terbakar itu kita belum dapat kesan lagi (pemiliknya). Suspek juga masih dalam siasatan. Perak yang siasat kes kebakaran (kereta) itu.
"Tetapi selalunya, Jabatan Kimia tidak lamalah kalau kita kira dalam seminggu dia akan pergilah selalunya lah. Tapi di Perak saya tak tahu ... secepat mungkin kita dalam penelitian lagi kerana ada beberapa perkara yang perlu kita selidik dan ini membabitkan lebih kurang 15 kenyataan," katanya di sini, hari ini.
Sementara itu Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon berkata, pihaknya akan meneliti semua aspek, termasuk bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi mengesan Morais.
"Orang ramai yang lihat atau mempunyai maklumat-maklumat mengenai kejadian ini tampillah ke hadapan bantu siasatan kami. Sesiapa saja yang mengetahui dengan kejadian ini ataupun melihat apa-apa yang mungkin boleh membantu kami ya. Kami menyerulah supaya mereka tampil kehadapan untuk bantu siasatan kami," kata Hong Soon.
"Pasukan petugas khas sedang menyiasat perkara ini dan kes ini kita akan lihat dalam seluruh aspek... baik pihak imigresen, LLM, PLUS dan sebagainya membantu siasatan.
"Mana-mana yang boleh bantu kami memohon bantuan mereka. Kita mahu menyelesaikan kes ini secepat mungkin kalau boleh. Dan sebab itu kita menubuhkan pasukan petugas khas untuk siasat kes ini," katanya selepas perhimpunan bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Morais dilaporkan hilang sejak 4 September lalu, selepas meninggalkan kediamannya di Menara Duta, di sini untuk ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara dengan memandu kereta rasmi kerajaan dengan nombor pendaftaran WA 6264 Q.
Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata menafikan dakwaan laporan portal Sarawak Report yang mengaitkan kes pembunuhan itu dengan suatu transaksi akaun bank bersifat rasuah dan berkaitan dengan kes kematian pengasas AmBank, Hussain Najadi.
#Anthony Kevin Morais #kamera litar tertutup #Zainuddin Ahmad