Polis sita 25 motosikal dalam Op Samseng Jalanan

Bernama
Mei 31, 2023 14:10 MYT
Polis menyita 25 motosikal dan mengeluarkan 115 saman dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan Bukit Mertajam, malam tadi. - Foto Facebook IPD Seberang Perai Tengah
BUTTERWORTH: Polis menyita 25 motosikal dan mengeluarkan 115 saman dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan Bukit Mertajam, dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Mohd Asri Shafie berkata dalam operasi di BORR, polis menyita 17 motosikal dan mengeluarkan 90 saman atas pelbagai kesalahan.
"Polis menjalankan risikan dan intipan sejak beberapa hari lepas sebelum menjalankan Op Samseng Jalanan di lebuh raya itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Tan Cheng San berkata dalam operasi di Bukit Mertajam, pihaknya menahan empat remaja lelaki mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan menyita lapan motosikal.
"Dalam operasi itu, sebanyak 23 motosikal diperiksa dan 25 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan tiada lesen memandu yang sah, tiada cukai jalan, kesalahan ubah suai dan lain-lain," katanya.
-- BERNAMA
#sita motosikal #Op Samseng Jalanan #Bukit Mertajam #Polis Daerah Seberang Perai Utara